KOTA KINABALU, 29 Feb: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah)
dengan gabungan beberapa NGO lain akan mengadakan satu perhimpunan aman
pada 12 Mac hadapan bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah
tanah adat yang semakin meruncing kini.
Setiusahanya, Lahirul Latigu berkata, perhimpunan tersebut adalah
susulan penyerahan memorandum berhubung perkara berkaitan pada 18
November tahun lalu.
“Kita lancarkan sekali lagi gerakan ini, dengan satu perhimpunan aman
besar-besaran di hadapan pusat pentadbiran kerajaan negeri akan
dilakukan sebelum penyerahan memorandum dibuat.
“Tindakan ini tidak bermotifkan politik tetapi berdasarkan momentum
dan ketumbukan oleh empunya tanah. Sudah cukup rasanya dengan
penderitaan, keluhan dan janji demi janji dibuat. Sudah lama rakyat
bersabar, dan ini kali lah... rakyat sudah hilang sabar,” katanya.
Menurutnya, himpunan aman dengan akronim 123 Bangkit itu merupakan
Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat juga akan digerakkan di
seluruh pelosok Sabah.
“Himpunan 123 Bangkit ini adalah di ambil sempena himpunan tersebut
yang akan diadakan pada 12 Mac ini dengan kebangkitan rakyat Sabah
secara besar-besaran,” ujarnya ketika mengadakan sidang media pelancaran
123 Bangkit di Pejabat PAS Kota Kinabalu, kelmarin.
Katanya, kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan nasib rakyat
terutama dalam masalah tanah sedangkan puluhan janji dan memorandum
dihantar bagi mengatasi masalah ini.
Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2005-2010 turut
mencatatkan masalah itu sudah terlalu kritikal. Tindakan kerajaan yang
terus berdiam diri dan banyak berjanji ini terus mengundang rasa tidak
puas hati dan tanda tanya banyak pihak selain menggambarkan keangkuhan
kerajaan itu yang tidak menerima pandangan serta pendapat orang lain.
“Banyak tanah-tanah yang dirampas, yang masih tidak terbela... ini
tidak pernah ada penyelesaian yang begitu konkrit yang menunjukkan
Sabah, kerajaan yang begitu prihatin kepada rakyat.
“Sebab itulah, kita mahu lihat rakyat bangkit dalam himpunan kali
ini. Kita mahu pihak kerajaan pandang serius isu ini,” ujar Lahirul.
Lahirul berkata, perhimpunan yang bakal diadakan berhampiran Wisma
Innoprise dekat sini akan melibatkan beberapa NGO negeri termasuklah
wakil-wakil parti politik.
Beliau turut menjangkakan 5,000 rakyat akan keluar pada hari tersebut
bagi menyatakan pendirian terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang
dilihat gagal melaksanakan amanah rakyat terutama dalam isu tanah.
No comments:
Post a Comment