02 May 2012

Sabah kaya: Mahathir baru terjaga dari tidur?

KOTA KINABALU, 3 Mei: Dewan Pemuda PAS Sabah menyelar sikap bermuka-muka bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan kekayaan negeri Sabah yang disembunyikan faktanya tanpa memikirkan tanggungjawab dan rasa hormatnya terhadap rakyat di negeri ini. 

Ketuanya, Lahirul Latigu dengan sinis mengatakan bekas Perdana Menteri itu ‘baru terjaga dari tidur’ dengan bersandarkan kenyataan kajian daripada Petronas yang menunjukkan Sabah akan menjadi sebuah negeri terkaya tidak lama lagi.




“Beliau (Dr. Mahathir) ni sudah lama jadi Perdana Menteri. Kenapa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulunya, beliau langsung tidak melihat negeri Sabah ini?

“Apakah beliau baru terjaga dari tidur, tiba-tiba bermimpi dan dikejutkan dengan penemuan dan kajian… baru beliau bingkas menyatakan kekayaan negeri Sabah?” soal Lahirul.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir yang ketika menyampaikan syarahan mengenai Pembangunan Sosio-Politik Sabah dalam Konteks Malaysia di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1 Mei lalu berkata kajian Petronas telah menunjukkan Sabah tidak lama lagi akan menjadi negeri terkaya daripada segi sumber aslinya.

Menurut Bekas Perdana Menteri itu juga, beliau turut mencadangkan sebuah Fakulti Kejuruteraan Petroleum ditubuhkan di UMS berikutan kemunculan industri minyak dan gas di negeri ini.

Lahirul berkata, kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut tidak jelas dan hanya bersifat mengaburi mata rakyat Sabah.

“Apa yang disebut dan dinyatakan oleh beliau, secara kasarnya nampak kabur dan kurang jelas. Sebagai seorang yang pernah berkuasa dahulunya, dan tahu selok belok Sabah… beliau sepatutnya memberikan kepada rakyat dan negeri ini satu benda yang besar dan tidak bersifat kosmetik yang hanya menunggu pilihanraya.

“Apa yang lebih besar itu ialah, beliau memberikan serta memulangkan semula kuasa yang ada pada rakyat di negeri ini untuk mentadbir dan mengurus hasil buminya. Bukankah itu juga termasuk dalam Perjanjian Malaysia 1963,” jelas Lahirul.

Menurut Lahirul, kekayaan Sabah yang terbit dari hasil bumi dan dasar laut telah sepatutnya meletakkan Sabah sebuah negeri terkaya di Malaysia sejak tahun 1976 dan bukannya tidak lama lagi yang tidak diketahui bila tarikh dan tahunnya.

“Sabah ini sepatutnya sudah jadi negeri kaya dan terkaya di Malaysia sejak dulu tahun 1976 lagi.

“Bukannya sekarang dan tidak lama lagi seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Mahathir. Kalau begitu, berikan kepada rakyat Sabah bila Sabah akan jadi negeri terkaya? Adakah tahun hadapan… atau dua tahun lagi, atau entah bila tahun itu?” ujar beliau.

Katanya, kemiskinan yang berlaku dan kekurangan yang ada pada negeri ini juga secara jelas telah disebabkan oleh pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tempang dan rosak.

“Sabah ini jatuh dalam kemiskinan, terpinggirnya rakyat daripada arus pemodenan, hilangnya taring dan kuasa wakil rakyat… ini adalah punca kerakusan sistem pentadbiran kerajaan Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved