30 July 2010

menilai kehancuran... mengira kebejatan

Jika dahulu Amaluddin Darus pernah mendokumentasikan kegagalan demokrasi diamalkan menurut prinsip asalnya dalam bukunya bertajuk "Demokrasi atau Diktator". Kupasan beliau cukup bernas yang memberi gambaran kepada kita betapa negara asal demokrasi seperti Eropah juga gagal melaksanakan prinsip demokrasi apabila berkuasa. Demokrasi seolah-olah hanya impian kaum bawahan yang tertekan atau tertindas, ia hanya menjadi teori indah kaum tertindas kononnya jika mereka berjaya berkuasa mereka akan mengubah dunia agar menjadi lebih adil.


 
Namun piawaian untuk keberkesanan demokrasi hanya berlaku sekiranya kehendak majoriti rakyat yang inginkan perubahan merealisasikan tekad dan usaha mereka melalui menyokong satu dasar politik yang akan membawa kemakmuran. Sekiranya kebangkitan dan kesedaran rakyat tidak menyeluruh, ia hanya akan menjadi politik minoriti yang menguasai majoriti. Apakah maksudnya minoriti menguasai majoriti?

Jika meneliti tulisan Datuk Dr. Hassan Ahmad bertajuk Kegagalan Demokrasi yang disiarkan oleh Dewan Masyarakat Mac 2010, beliau ada memberi satu kupasan bermakna untuk kita hayati kegagalan demokrasi akibat kerakusan para pemerintah.

Kata beliau, demokrasi yang asalnya bermaksud pemerintahan oleh rakyat, telah bertukar menjadi pemerintahan diktator majoriti. Pada ‘ghalib’nya mana-mana parti yang dimenangi selepas mendapat sokongan majoriti akan membuat dasar dan menguasai kerajaan negara. Namun sesetengah negara, golongan peniaga dan kapitalis menggunakan wang dan pengaruh sebagai alat untuk mempengaruhi dasar negara atau mempengaruhi pemerintah agar tunduk dengan polisi tertentu.

Ini antara pengaruh yang mengubah dasar dan polisi yang awalnya dibina oleh kerajaan yang disokong oleh majoriti rakyat. Selepas penguasaan faktor luar tersebut terhadap pemerintah (kaum keluarga, kapitalis, peniaga) maka bermulalah pula proses indoktrinisasi kepada rakyat agar hanya taksub dan obses kepada pemerintah tersebut. Majoriti dirayu agar percaya hanya satu parti tersebut sahaja mampu memberi syurga dan nyawa kepada rakyat. Contohnya, hanya parti tertentu sahaja pandai membuat jalan tar di kampung-kampung, parti lain tidak tahu buat. Gejala ini adalah gejala ‘bebalisme’ atau proses memperbodohkan rakyat demi masa depan parti dan pemerintah diktator tersebut.

Kata Dr. Hassan kesalahan kerajaan yang menyalahgunakan hak mengundi rakyat ini terbahagi kepada dua iaitu kesalahan terhadap konsep demokrasi yang berasaskan kepentingan rakyat dan negara serta melanggar etika konsep ketua negara merentas kepentingan parti politik yang menang. Lantaran itu saya juga berpendapat tidak mengira parti pro pemerintah atau pembangkang, kedua ahli parlimen atau ADUN wajib menjaga kepentingan rakyat yang mengundi mereka melebihi urusan parti yang kadangkala dijulang-julang sehinga menerbitkan rasa jelek di kalangan pengundi mereka sendiri. Dalam Islam, undi yang diperolehi daripada rakyat adalah baiah atau perjanjian terhadap kepimpinan Islam dan wajib untuk pemimpin tersebut menjaga amanah ‘Baiah’ rakyatnya.

Demokrasi dikehendaki di Perancis. Antara sebab-sebab utama berlakunya Revolusi Perancis (1789-1799) adalah seperti disebabkan Pengaruh para pemikir Enlightment, kelemahan pemerintahan Raja Louis XVI dan Pengaruh Revolusi Amerika. Demokrasi liberal diperjuang oleh kelompok sekularis yang ingin jauh daripada lingkaran agama Kristian. Pengaruh para pemikir Enlightment merupakan antara penyumbang besar belakunya Revolusi ini. Mereka memperjuangkan hak semula jadi manusia sebagai prinsip utama pemikiran mereka. Kebanyakan pemikir Enlightment Perancis seperti Jean Jacques Rousseau, Montesquieu, Voltaire, dan Denis Diedrot amat dipengaruhi oleh falsafah John Locke. 

Demokrasi adalah relevan di Malaysia sebagai satu pentas untuk setiap kaum, kelompok insan, persatuan atau parti dipilih menjadi pemimpin dan mengurus polisi negara. Kerencaman sosial dan komposisi kaum di negara kita menyebabkan politik melalui jalan pilihanraya relevan seperti mana pandangan Imam Mawardi terhadap pilihanraya di Basrah dan Baghdad dahulu.

Namun begitu bagaimana pula keadaan golongan yang muak dan jelak dengan kediktatoran akibat demokrasi? Golongan yang memusuhi jalan politik demokrasi terbahagi kepada dua iaitu pertamanya golongan yang ingin melaksanakan hukum Islam secara segera dan idealis tanpa kompromi terhadap sebarang advokasi atau keanjalan sistem. Mereka kesal demokrasi tidak berjaya menyelesaikan masalah sosial dan kelambatan sistem itu menjulang ajaran Islam. Bagi mereka disebabkan sistem itu berasal dari barat, maka ia adalah jahiliyyah dan sesat.

Golongan kedua adalah golongan rakyat yang muak dengan politik majoriti yang tidak membawa aspirasi rakyat. Malah menurut Dr. Hassan Ahmad dalam makalah yang sama, masalah negara dan rakyat tidak boleh diselesaikan dengan hanya berslogan atau beretorik semata-mata. Umpama Malaysia yang mengalami tsunami Islam Hadhari untuk mengkosmetikkan politik pemerintah yang jauh dari ruh Islam. Retorik terkini adalah 1 Malaysia yang menutup unsur perkauman dan kepuakan nepotisme yang diamalkan oleh pemerintah. Pada pandangan Dr. Hassan, orang yang melaksanakan pemerintahan perlulah berilmu, jujur, amanah, bermoral tinggi malah perlu menyelesaikan setiap persoalan rakyat bermula dari parlimen lagi kerana itulah tempat yang diperuntukkan.

Manusia seperti Mechiavelli, Hobbes, Karl Marx dan sebagainya banyak meletakkan kaedah memerintah, teknik mengurus melebihi piawaian siapa yang layak memerintah. Ironinya kaum Melayu patut berbangga kerana banyak kitab-kitab jawi lama seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Raja Pasai, Munyatul Musolli (ada bab mengenai Raja yang adil) serta beberapa kitab karangan Raja Ali Haji telah mengenengahkan konsep pemilihan raja yang adil. Dunia melayu yang telah melarut masuk fiqh siasah daripada kitab-kitab karangan ulama’ arab telah menerima pemerintahan raja yang dinasihati oleh ahli halli wal aqdi yang terdiri dari kalangan Mufti dan alim ulama’ termasuk ulama’ ilmu keduniaan. Namun sejauh mana tradisi itu sampai kepada kaum melayu hari ini?

Demokrasi perlu dipugar agar menuruti kehendak rakyat selagi mana ia berasaskan keadilan. Bagi kaum Islam, demokrasi perlu dibersihkan dari sebarang kecacatan noda dosa yang dipacu di atas pentas matlamat menghalalkan cara.


Demokrasi bukan memberi sewenang-wenang membabi buta kepada rakyat sehingga mengenepikan kuasa perundangan Allah. Maksud kuasa rakyat ialah ‘kuasa ini menolak kuasa mutlak yang dipelopori oleh diktator’. Kuasa rakyat memilih pemimpin bukannya mencipta perundangan sehingga mengenepikan hukum Islam. Inilah pandangan Al-Qaradhawi dalam bukunya Agama dan Politik ( 2009).

Jelas, merefomasikan demokrasi hanya berjaya selepas tangan-tangan yang menconteng kepada wajah demokrasi dihukum dalam sebarang pilihanraya. Ini kerja berat dan fokus utama bagi setiap pejuang kebenaran.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved