KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah
(Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah
adat pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada
terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.
“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan
mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan
terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus.
Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang,
Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang
kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.
Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa Sabah
yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi
realiti dan dilaksanakan segera.
Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi
boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana
pihak.
Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi
menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah
dinafikan secara terang-terangan.
“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.
“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang
berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak
ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.
Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.
No comments:
Post a Comment