KOTA KINABALU, 27 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
(DPPNS) menyambut baik pelbagai saranan pihak kementerian dan Jabatan
Pelajaran di negeri ini yang mengambil langkah penyelesaian terhadap
permasalahan kemampuan pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Inggeris
dan Matematik.
Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, gesaan
yang dibuat bagi menangani permasalahan itu boleh dirungkai secara satu
persatu dan tidak menjadi rumit sehingga membebankan keupayaan
kecemerlangan pelajar dan keterlibatan guru-guru.
“Kita (PAS) melihat dari sudut yang berbeza perspektif. Tetapi,
matlamat tetap sama yakni membina dan membangunkan potensi pelajar
terutama pelajar luar bandar dalam menguasai dua subjek yang dikatakan
sukar iaitu Inggeris dan Matematik,” katanya.
Menurutnya, gesaan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan
Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail pada Ahad lalu perlu dipandang secara
serius. Hal ini katanya, ketidakseriusan pelbagai peringkat agensi yang
terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung bakal
menjejaskan sistem pendidikan yang telah dirangka.
“Apa yang disampaikan oleh beliau itu, kena dianggap serius. Ini hal
pendidikan anak-anak. Jelas matlamat, kita tidak boleh mengejar pangkat
dan kedudukan. Tapi, kualiti pendidikan yang berkesan itu adalah lebih
penting dan berguna dari segala hal,” ujar beliau.
Berkongsi cadangan dan panduan
Menurutnya lagi, Pemuda PAS ingin mengemukakan beberapa panduan bagi
berkongsi cadangan penambahbaikan terhadap permasalahan berkenaan.
Antaranya ialah, gesaan terhadap pihak kementerian agar mempercepatkan
proses penyerapan guru-guru terlatih ke sekolah-sekolah kawasan luar
bandar yang bermasalah dari sudut kekurangan guru.
“Guru-guru perlu segera diserapkan ke sekolah-sekolah yang ada
masalah kekurangan guru. Bebanan kerja guru yang bertambah, ditambah
dengan ketidakcukupan guru memaksa guru berkenaan memangku pelbagai
tugas. Dan, lahirlah rungutan serta perasaan letih dalam mengajar.
“Guru yang perlu fokus kepada sesuatu bidang, terpaksa melakukan
kerja lain. Ada ketikanya, kerja itu di luar bidang akademiknya. Kalau
itu yang berlaku, sungguh ianya terlalu membebankan,” jelas Lahirul
lagi.
Selain itu, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) juga perlu diberikan
kelonggaran untuk terus dilantik semula dengan diberikan pelbagai
latihan serta kursus pengukuhan perguruan bagi membantu bilangan guru
yang tidak mencukupi.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong turut mengesahkan
terdapat 7,920 telah dilantik semula sebagai GSTT di seluruh negara
termasuk Sabah. Daripada jumlah itu, kira-kira 1,258 sedang mengikuti
Kursus Dalam Cuti melalui mode KPLI-KDC atau KDPM-KDC. Manakala di
Sabah, sebanyak 516 orang GSTT telah dilantik semula manakala selebihnya
ditawarkan terus untuk mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru
(IPG) mulai awal tahun ini.
“Ada sebab kenapa GSTT ini perlu diteruskan. Mereka ini boleh
diserapkan terus sebagai guru terlatih apabila cukup proses kematangan
mereka dalam bidang perguruan.
“GSTT ini perlu diteruskan bagi menampung kekurangan guru terlatih
terutama di kawasan luar bandar ini. Tapi, ini tidak bermakna
membelakangkan graduan-graduan perguruan yang telah tamat tempoh
pengajian,” ujarnya.
Bagi memastikan tahap pengajaran dan pembelajaran (P & P) menjadi
lebih baik, kemudahan infrastruktur dan kelengkapan alat bantuan
mengajar serta kemudahan prasarana yang lebih baik perlu dibangunkan.
Hal ini bagi mewujudkan suasana sebenar alam persekolahan di kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah.
“Berapa banyak sekolah di kawasan luar bandar ini yang imej dan wajahnya tidak mencerminkan peredaran semasa.
“Tidak hairan jika Laporan Audit 2010 turut mendedahkan projek makmal
komputer sekolah harian di Sabah yang bernilai RM 160.74 juta yang
bertujuan membina bangunan, membekalkan dan pemasangan perabot dan
peralatan ICT didapati telah gagal mencapai objektifnya,
“Ini isu yang bakal mengundang kebejatan dalam sistem pendidikan.
Mengapa dan bagaimana ketirisan ini boleh berlaku? Di saat kita mahu
melahirkan kualiti pelajar, di situ jugalah ketirisan dan kecelaruan
akhlak berlaku,” jelas beliau.
Sekolah daif, undang masalah kepada guru dan pelajar
Katanya, keadaan sekolah yang uzur dan dhaif turut menjadi sasaran keengganan guru berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Tahun lalu, ada 500 sekolah atau 39 peratus daripada 1,283 sekolah
rendah dan menegah di negeri ini yang mengalami kerosakan termasuk
bangunan yang tidak selamat diduduki.
“Macam mana guru dan pelajar ingin duduk dalam sekolah yang daif itu?
Infrastruktur usang dan uzur merencatkan pemikiran mereka. Perhatian
ini perlu diberikan secara serius. Suasana harmoni dan selesa perlu
diterapkan. Suasana pembelajaran yang kondusif dan baik turut memainkan
peranan membantu kecemerlangan pelajar dan guru-guru,” luah Lahirul.
Insentif kepada guru di kawasan luar bandar
Lahirul turut mencadangkan agar pihak kementerian memberikan insentif
dan bantuan kepada guru-guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar.
Katanya, kesanggupan seorang guru yang meredah sungai dan hutan
belantara semata mahu berkhidmat kepada masyarakat perlu diberikan
pengiktirafan yang sewajarnya.
“Mereka ini sanggup untuk meredah hutan, menyeberangi sungai semata mahu menabur bakti buat anak-anak di kawasan luar bandar.
“Kita di bandar, ada segala kemudahan... mereka di sana, biarpun
jawatan yang sama tapi kemudahan tidak sama. Persekitaran tidak sama.
Justeru, insentif atau sebarang usaha boleh diambil bagi memberikan
galakkan serta dorongan buat mereka ini. Tanda kita bersama mereka.
“Mereka ini perlu diberi galakkan agar lebih ramai berminat untuk berkhidmat dengan cemerlang di kawasan luar bandar,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment