30 September 2012

Bajet 2013: Sabah di'anaktiri'kan

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah hari ini menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu adalah disifatkan sebagai ’Belanja Makan Kroni’.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kedudukan Sabah sebagai ‘rakan kongsi’ Malaya (kini Semenanjung Malaysia) terus dipandang sebelah mata oleh kepimpinan Datuk Seri Najib.
 
 
“Apa hasilnya yang Sabah dapat? Apakah Sabah hanya dapat 57 buah Kedai Rakyat yang dibahagi 3 antara Labuan, Sabah dan Sarawak?

“Kalau betul kerajaan ini mahu menyeragamkan harga barang di Sabah dan Semenanjung, tidak perlu nak buka kedai rakyat umpama itu... laksanakan terus. Mansuhkan dasar kabotaj yang selama ini membelenggu rakyat Sabah. Ini baru dikatakan hak rakyat,” katanya.

Katanya, terdapat banyak ruang kelompangan dan ketirisan dalam pelaksanaan pembangunan termasuklah pengagihan peruntukkan pada masa akan datang.

“Banyak peruntukkan diberikan secara one-off kepada rakyat. Tetapi, lagi banyak sebenarnya peruntukkan itu disalurkan menerusi agensi, kontrak-kontrak yang terlibat”, ujar beliau.

Bagi maksud tersebut, beliau mendesak supaya kerajaan memainkan perhatian khusus mengenai keperluan asas utama rakyat dalam memberi perlindungan daripada hujan dan panas.

Beliau menambah, kenaikan harga rumah di pasaran Sabah yang meningkat secara mendadak mengatasi bandar besar seperti Kuala Lumpur juga sepatutnya perlu diberi perhatian.

“Kita melihat, banyak projek perumahan baru bakal didirikan. Adakah pembangunan ini mengambil kira faktor harga semasa dari Sabah?

Kerajaan juga katanya, perlu melaksanakan pembangunan bersifat jangka panjang dan tidak hanya menumpukan usaha meraih undi di saat pilihanraya umum akan datang.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seluruh ketua isi rumah dan golongan bujang adalah satu pendekatan yang agak membebankan.

“Sejauh mana pemberian tersebut boleh bertahan sampai setahun? Ditambah dengan harga minyak yang naik, harga barang tidak menentu, kos taraf hidup yang meruncing... sepatutnya ini diambil kira dalam belanjawan. Bukan setakat beri, tabur beratus ringgit sedangkan hak dan keperluan rakyat semakin hari semakin terabai”, jelas Lahirul.

Beliau turut menempelak kerajaan yang sebenarnya mahu memerah harta rakyat sebelum pemberian itu dilaksanakan.

“Bila kita tengok balik, setiap pemberi itu bermula pada Januari 2013... tapi rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga gula serta merta, pembayaran PTPTN yang berdiskaun juga bermula 1 Oktober.

“Ini yang dikatakan... rakyat didahulukan,” sinis beliau.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved