Oleh: Hj. Hamzah Abdullah
PAS
Sabah merasa kesal dengan pembentangan Bajet 2013 yang langsung tidak
mengambil kira hak kebajikan rakyat Negeri ini. Bagi pihak rakyat Sabah,
saya telah meneliti kandungan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri
Kewangan dan merumuskan bahawa yang akan 'kenyang' daripada dentuman
Bajet ini hanya pemimpin UMNO/BN.
Rakyat Sabah khususnya pribumi Sabah, yang rata-rata masih berada di bawah paras
kemiskinan hanya bakal menerima tangki-tangki air dan keperluan asas
yang hanya boleh bertahan paling lama 8 bulan.
Sebanyak 40,000
tangki air 1Malaysia yang bakal diagih-agihkan kepada orang kampung
hanya 'menggemukkan' pembekal yang tentunya kroni-kroni UMNO/BN dan
mempunyai saham dalam bentuk komisyen. Tangki air ini hanya mempunyai
jangka hayat paling lama 8 bulan kerana daripada jenis berkualiti rendah.
BN
sewajarnya tidak berfikir bahawa rakyat masih bodoh dan boleh
diperbodohkan seperti zaman sebelum wujudnya ICT. Sekarang kita berada
pada era maklumat berada di hujung jari.
Rakyat
Sabah masih tidak lupa dengan teguran Ketua Audit Negara bagaimana
peralatan sekolah dan alat kelengkapan tentera seperti teropong telah
dibeli dengan harga sehingga melonjak 1,000% dari harga asal! Ini lah
yang mesti rakyat fikir dan usah teruja terhadap pembentangan yang masih
jauh daripada jangkauan kita.
PAS
Sabah menuntut supaya dipulihkan semula Amanah Saham Rakyat Negeri
Sabah (ASRNS) atau popular dengan panggilan Amanah Saham Tun Mustapha
yang telah diasaskan oleh Bapa Kemerdekaan Sabah, Almarhum Tun Mustapha
di era pemerintahan USNO.
Almarhum
Tun Mustapha adalah pemimpin Sabah pertama yang mempunyai ciri-ciri
pemimpin seorang yang berjiwa rakyat dan menitikberatkan kebajikan
rakyat Sabah. Di zaman Tun Mustapha jugalah pelajar-pelajar Sabah yang
cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge akan berpeluang melanjutkan
pelajaran ke UK atau Australia dengan pembiayaan wang Yayasan Sabah,
yang mempunyai konsesi balak pemberian Kerajaan Negeri.
Almarhum
Tun Mustapha juga telah menggunakan wang kerajaan Negeri bagi membiaya
kos menunaikan haji bagi jemaah haji Sabah, termasuk membiayai guru-guru
agama yang bertauliah untuk mengajar di sekolah-sekolah agama seluruh
Sabah.
PAS
Sabah menuntut supaya Datuk Pairin mengambil tanggungjawab sepenuhnya
di atas pemansuhan Amanah Tun Mustapha kerana di zaman PBS lah amanah
saham ini telah dimansuhkan!
PAS
Sabah seterusnya mencabar Pairin supaya 'cakap serupa bikin' kalau
benar dia bersetuju dengan slogan 'rakyat didahulukan'. Ini masanya
kehendak rakyat diutamakan memandangkan Datuk Pairin masih berkuasa di
dalam kerajaan UMNO/BN Sabah.
PAS
Sabah menuntut supaya pembayaran amanah saham ini dibuat dengan
mengambil kira tahun ia dimansuhkan iaitu sekitar tahun 1988. Ertinya
rakyat Sabah berhak mendapat saham ini untuk tempoh tertunggak sejak 1988 yang bererti selama 24 tahun.
Kalau
setiap tahun rakyat Sabah yang layak mendapatnya berjumlah RM200 setiap
tahun, maka setiap seorang rakyat yang layak mesti diberikan hak mereka
berjumlah RM4,800!
PAS
Sabah akan membawa isu ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pakatan
Rakyat yang akan datang agar diterima sebagai sebahagian daripada
Manifesto Pilihanraya.
_____________________________________________
Hj. Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sabah merangkap Yang Di-Pertua PAS Kawasan Batu Sapi, Sandakan
No comments:
Post a Comment