15 October 2012

Bekas ahli USNO dipelawa sertai PAS

PAS Sabah mempelawa semua bekas ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) untuk menyertai parti itu untuk merealisasikan sebuah 'perjuangan berasaskan keadilan dan kesejahteraan rakyat negeri itu'.

Ketika membuat pelawaan tersebut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah berkata parti itu telahpun menerima banyak permohonan dari bekas ahli USNO, khususnya dari daerah Tawau.


Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihaknya PAS Sabah telah menghantar permohonan mereka untuk menjadi ahli PAS kepada ibupejabat PAS pusat.

"Terdapat sejumlah ahli
USNO dari Sandakan dan Kota Kinabalu yang juga telah mengisi borang keahlian PAS dan telah diterima menjadi ahli," katanya.

Hamzah berkata, perjuangan PAS mempunyai banyak persamaan dengan
USNO di mana asas perjuangan kedua-dua parti ini adalah berdasarkan kepada keadilan sejagat.

"Allahyarham Tun Mustapha, pengasas
USNO dan Bapa Kemerdekaan Sabah mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan Allahyarham Datuk Yusof Rawa, Presiden PAS kelima selepas Datuk Asri Muda," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham Tun Mustapha juga mempunyai hubungan yang baik dengan Subky Latiff, seorang wartawan dan penulis terkenal, yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.

Menurutnya, UMNO pernah melukakan hati Allahyarham Tun Mustapha sewaktu parti itu hendak memulakan langkah mengembangkan sayapnya ke Sabah.

Oleh itu, Hamzah mendakwa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Istana Tun Mustapha di Kudat kelmarin "tidak lebih hanya sebagai sebuah lakonan dan helah yang agendanya cuba melunakkan hati para penyokong dan ahli
USNO".

"PAS Sabah menasihatkan para penyokong serta ahli
USNO agar 'tidak jatuh di lubang yang sama sebanyak dua kali'.

"Insiden yang pernah menimpa
USNO juga telah dialami PAS di mana PAS yang telah berkorban dengan menyertai BN atas pelawaan UMNO pada tahun 1974, akhirnya ditendang keluar oleh UMNO apabila merasakan UMNO tercabar dengan kekuatan PAS yang semakin meningkat," dakwanya.

Hamzah mendakwa,
USNO juga 'pernah ditendang keluar oleh UMNO' kerana parti itu membangkitkan isu penyerahan Pulau Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, PAS bersedia mempertimbangkan cadangan bagi meletakkan beberapa bekas pemimpin
USNO sebagai calon untuk pilihan raya umum ke-13.

"PAS Sabah telahpun bermesyuarat sebelum ini dan bakal mengumumkan keputusannya pada masa yang sesuai," tambah Hamzah.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved