KOTA KINABALU, 25 Jan: Rakyat di negeri ini sudah
bosan dan kecewa dengan kegagalan pihak kerajaan negeri yang hingga kini
masih gagal mencari formula terbaik menangani masalah jalan rosak yang
terpaksa dilalui setiap hari.
Biarpun pendedahan demi pendedahan dan laporan demi laporan termasuklah kajian strategik yang dibuat mengenai isu itu, namun ia bagaikan ‘bising hanya dibibir’ kerana tiada perubahan yang ketara terhadap kualiti jalan raya terutama di negeri ini seperti mana yang diharapkan pengguna.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan berkata, rakyat sudah muak dengan janji-janji kosong yang ditaburkan pihak tertentu hanya semata mahu meraih undi semasa pilihan raya.
“Rakyat sudah bosan dan kecewa dengan keadaan begini.
“Keadaan jalan berlubang, mendap, beralun serta tampalan yang tidak sempurna dan berpasir terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik resah memikirkan kos bagi penyelenggaraan kenderaan,” ujarnya dalam nada yang kecewa.
Menurutnya, jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupit, Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu boleh diklasifikasikan jalan yang paling teruk bermasalah.
Beberapa siri kejadian di mana kenderaan mengalami masalah tayar meletup, rim bengkok akibat hentakan jalan berlubang dan sebagainya sentiasa berlaku di jalan-jalan ini.
“Ini adalah antara laluan yang berbahaya terutama di waktu malam. Pengguna kerap kali melalui jalan yang teruk yang terpaksa memikirkan kos sampingan selain kos penyelengaraan kenderaan,” katanya.
Selain itu, kegagalan kerajaan negeri melihat permasalahan ini diselar berikutan begitu banyak pembaziran yang dibuat berbanding menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat.
“Kita (PAS) tidak nafikan bahawa, keindahan itu penting. Tapi alangkah baik sekiranya kerajaan juga menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik untuk rakyat.
“Ini jelas menepati slogan rakyat didahulukan... bukan kroni dan bukan juga perut menteri,” ujar Julpikar.
No comments:
Post a Comment