KOTA KINABALU, 6 Jan: Pemuda PAS Sabah akan
mengiringi gerakan anak muda yang terdiri di kalangan pemuda-pemuda
Sabah bagi menyatakan bantahan terhadap kezaliman dan menuntut keadilan
bagi memastikan hak rakyat dijamin berdasarkan peruntukan perlembagaan
negara.
Ketuanya, Lahirul Latigu akan mengetuai gerakan tersebut bagi memecah
keegoan dan keceluparan Umno BN yang memperhambakan rakyat Sabah
sebagai fixed deposit Umno BN berkuasa.
“Kita nyatakan pendirian dengan tegas bahawa, sebarang kezaliman dan
ketidakadilan yang berlaku dinegara ini adalah berpunca daripada Umno
BN.
“Jangan terlalu ego dengan kesenangan yang ada ini. Hari ini, waktu
ini dan di sini… anak-anak muda Sabah akan beraksi menentang kezaliman
Umno BN,” ujarnya.
Momentum Bersih 2.0 merupakan satu bentuk manifestasi kebangkitan
rakyat pada perhimpunan aman 901 ini yang menyaksikan kebangkitan kuasa
rakyat terhadap kepimpinan zalim.
“Anwar telah diaib dan dimalukan sebelum keputusan mahkamah dibuat. Adakah ini keadilan yang dipertahankan Umno BN,” katanya.
Katanya, rakyat Sabah sudah muak dengan janji yang dimainkan saban hari oleh media perdana Umno BN.
“Pagi hari dia bagi tanah, malam hari dia rompak hasil tanaman
rakyat. Siang hari dia derma baja, cukup bulan dia rampas tanah… apa
ini?,” kata Lahirul.
Pemuda PAS Sabah katanya, akan memainkan peranan yang lebih agresif dalam mendepani kezaliman Umno BN.
Justeru katanya, pihak polis perlu mengawal dan menjamin kelancaran perhimpunan dan bukan mengikut telunjuk Umno BN.
“Uniform biru yang dipakai itu menunjukkan kesetiaan kepada Raja dan
Perlembagaan Negara, bukan setia kepada Najib dan takut kepada Umno BN.
“Ingat semula surat aku janji yang dilafazkan itu,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment