17 January 2012

BR1M: Pengunjung program Muhyiddin kecewa

SEMPORNA, 18 Jan: Hampir 10,000 pengunjung kecewa dengan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang dijanjikan tidak ditepati oleh kerajaan negeri.
 
Yang Dipertua PAS Semporna, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) mendakwa, hampir sebahagian daripada pengunjung yang hadir ke Program Pemimpin Bersama Rakyat di pekan ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang dalam perasaan yang kecewa setelah berpanas dan bersesak-sesak bagi mendapatkan bantuan BR1M tersebut.


 
“Mereka datang dari seluruh daerah Semporna ini bagi mendapatkan BR1M yang telah dijanjikan kerajaan.

“Namun, mereka agak kecewa kerana hanya sekitar 3,000 sahaja yang menerima bantuan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu berperanan secara serius dan adil dalam pemberian bantuan kepada rakyat.

“Apabila janji sudah dibuat, maka peranan perlu secara serius dan adil,” katanya.

Program pemberian BR1M yang diadakan sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Padang Pekan Semporna kelmarin turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah turut menempelak Muhyiddin kononnya BR1M tersebut tidak ada kaitan dengan politik.

“Cakap tak ada main-main politik. Tapi, ucapan-ucapannya jelas bermotifkan politik bagi meraih undi.

“Ini duit, duit rakyat yang bayar cukai. Bukan duit Umno BN. Kenapa perlu mengatakan Umno yang bagi?” ujarnya.

Sehubungan itu, Julpikar menyeru rakyat Sabah untuk mengajar pemimpin-pemimpin Umno BN yang ‘besar kepala’ dengan terus memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved