KOTA KINABALU, 12 April: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) akan mengadakan Himpunan Rakyat Sabah
Mempertahankan Tanah Adat atau Bangkit 2.0 pada 28 April ini, di Padang
Merdeka. Kota Kinabalu.
Pengerusi Tabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, perhimpunan tersebut
bakal bergabung serentak dengan perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan
pada tarikh serta lokasi yang sama.
“Tabah akan terus mengadakan perhimpunan aman ini tanpa melibatkan
sebarang perarakan seperti mana yang diuar-uarkan akan dilaksanakan oleh
Bersih. Tujuan kita hanyalah bagi menyuarakan perasaan rakyat dan orang
kampung yang mengalami masalah tanah.
“Tabah juga akan memastikan setiap peserta mematuhi segala peraturan
yang telah ditetapkan dan tidak mahu sebarang anasir liar dan jahat
dimulakan oleh peserta. Kita mahu buktikan kepada seluruh dunia bahawa
peserta perhimpunan aman ini semuanya baik dan mengikut peraturan,”
katanya.
Menurutnya, Tabah akan menghantar surat pemberitahuan kepada pihak
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota
Kinabalu bagi memaklumkan perhimpunan berkenaan dan memohon kawalan
keselamatan bagi sebarang kemungkinan provokasi oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab.
“Tabah hanya akan mengadakan perhimpunan sahaja. Sebarang perarakan
perlu bertanyakan kepada parti politik sama ada mereka mahu buat atau
tidak,” ujar beliau dalam sidang media pelancaran Bangkit 2.0 di sini
kelmarin.
Sementara itu, Setiausaha Tabah yang juga Ketua Pemuda PAS Sabah
Lahirul Latigu memaklumkan bahawa persetujuan awal yang diperolehi
semasa pertemuan bersama Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi
Zakaria pada Mac lalu juga turut mengakui hanya dua lokasi yang
dibenarkan untuk perhimpunan iaitu sama ada di Stadium Likas atau Padang
Merdeka.
“Polis sudah memberikan persetujuan, hanya dua lokasi di sekitar Kota
Kinabalu ini sesuai untuk berhimpun sama ada di Stadium Likas atau
Padang Merdeka.
“Cumanya, kita diminta untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan berkenaan bagi penggunaan tempat,” jelas Lahirul.
Tambahnya, memorandum turut akan diserahkan semasa perhimpunan tersebut dengan diwakili oleh pimpinan Pakatan Rakyat.
“Oleh sebab Ketua Menteri terlalu ego untuk berjumpa dengan rakyat
semasa 123 Bangkit yang lalu, maka pada hari tersebut kita akan
menyerahkan memorandum serupa kepada pimpinan Pakatan Rakyat bagi
menyelesaikan isu yang berbangkit.
“Kita mahu, hak rakyat Sabah ini dikembalikan kepada mereka, katanya.
No comments:
Post a Comment