24 April 2012

Kerajaan BN Sabah sudah lama tipu rakyat

KENINGAU, 24 April: Pemuda PAS Sabah melahirkan kekesalan terhadap pihak tertentu yang cuba mempolemikkan isu mengenai taraf kehidupan rakyat terutama yang melibatkan rakyat di kawasan pedalaman negeri ini. 
 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu mendakwa, peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini merupakan hasil usaha dan titik peluh yang dibangunkan sendiri oleh rakyat dan bukannya ditentukan oleh usaha kerajaan.


“Peningkatan kehidupan yang kian bertambah baik yang dinikmati oleh penduduk pedalaman pada hari ini bukan hasil usaha kerajaan, namun hasil keringat dan kudrat rakyat itu sendiri.

“Peningkatan pendapatan ekonomi rakyat terutama yang melibatkan pertanian adalah didorongi oleh permintaan komoditi pasaran dunia dan bukan disebabkan rancangan pihak kerajaan negeri.

“Makanya, rakyat perlu sedar bahawa selama ini kerajaan cuba hendak menjadi hero dan seolah-olah menunjuk-nunjuk kehebatannya sedangkan sedikitpun usaha itu adalah disebabkan rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Keningau.

Lahirul bersama rombongan pemuda PAS Sabah ditemui ketika mengadakan kunjungan dan lawatan kerja selama sehari ke kawasan-kawasan pedalaman Sabah.

Berdasarkan tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh Institut Kajian Politik dan Strategik Pemuda PAS Sabah mendapati bahawa, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang diamanahkan oleh kerajaan negeri bagi membangunkan industri dan pendapatan rakyat tidak memenuhi keperluan sebenar apatah lagi LIGS menawarkan harga pasaran getah yang jauh lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia dan pasaran dunia.

“Kerajaan negeri tidak berperanan sebagai agensi khusus sebaliknya menjadi dalang utama yang menyekat peningkatan ekonomi pertanian.

“Kita (PAS) bimbang dengan perkembangan ini yang seolah-olah kerajaan langsung tidak peka dan prihatin terhadap keluhan dan rintihan peneroka getah.

“Kerajaan bukan sahaja menampakkan ianya telah gagal mengurus ekonomi negeri, malah gagal juga dalam mengarah dan mengurus LIGS supaya mengoptimumkan harga pasaran getah agar lebih selaras dengan harga pasaran dunia.

Selain itu, beliau turut menegur kerajaan negeri agar memastikan pengilang kelapa sawit tidak mengambil kesempatan membeli sawit dengan harga yang lebih rendah daripada harga yang sepatutnya diterima peneroka.

“Kerajaan negeri perlu melihat perkara ini sebagai satu masalah serius dan perlu ditangani dengan segera. Jika ianya berleluasa, isu ini akan menjadi barah dan meminggirkan serta menindas golongan peneroka.

“Masakan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui perkembangan ini, sedangkan lessen pemilik dan pengusaha kilang, dikeluarkan oleh kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, harga sawit mentah yang dibeli oleh kilang hanya sekadar RM 800.00 setan namun hampas (bio-mass) sawit dimiliki oleh pekilang. Harga hampa (bio-mass) di pasaran dunia adalah diantara RM 1,200.00 hingga RM 1,500.00 setan.

“Ini bererti, pekilang kelapa sawit mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan cubaan menipu dan menindas rakyat kampung.

“Kerajaan juga menunjukkan sikapnya yang langsung tidak pandai mengurus kebajikan dan ekonomi rakyat,” jelasnya dalam nada kecewa.

Pemuda PAS juga katanya, turut mempertikai kehadiran pelbagai agensi persekutuan ke Sabah yang hanya berminat memungit hasil namun tidak memberi sumbangan kepada negeri ini.

“Kita boleh senaraikan seberapa banyak agensi persekutuan yang datang ke Sabah ini seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, MPOB, MTAB dan juga Lembaga Koko Malaysia.

“Untuk apa agensi-agensi ini datang ke Sabah, sedangkan mengikut Perlembagaan Malaysia ada menyebut bahawa pertanian adalah hak mutlak kerajaan Negeri Sabah.

“Dan, perkara ini juga bercanggah dengah Perjanjian Malaysia 1963,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved