24 April 2012

Rakyat Sabah diajak turun ke Bersih 3.0

KOTA KINABALU: Bela Tanah Rakyat Sabah (Tabah) mengajak seluruh rakyat Sabah untuk turun beramai-ramai bagi menyertai Himpunan Rakyat Bangkit 2.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka, di sini.

Pengerusinya, Hisammuddin Sulaiman berkata, ia merupakan himpunan lanjutan yang terpaksa diambil setelah pelbagai kaedah yang sama sebelum ini gagal diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan Negeri terutama melibatkan tanah rakyat. 

“Isu ini bukan pertama kali diketengahkan, bahkan kita juga sudah banyak menerima rungutan dan keluhan rakyat yang mengalami masalah tanah.

“Kita juga sudah membawa isu ini ke pengetahuan media dan perhatian Pejabat Ketua Menteri, namun apa yang dikesalkan ialah tindakan dan perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan tidak dipedulikan malah menyulitkan lagi keadaan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Pemuda PAS Sabah, dekat Kingfisher pagi tadi.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit dalam menuntut hak dan keadilan. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya penindasan di kalangan rakyat.

“Sebagai rakyat, kita perlu sedar bahawa kita juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan. Seperti apa yang berlaku sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bukan sahaja mengelak untuk berjumpa dengan rakyat malahan melayan rakyat dengan cara yang tidak masuk akal.

“Tanah ini bukan untuk seminggu dua saja, tapi ianya digunapakai buat kepada generasi-generasi yang akan datang. Bila tanah kita ini dirampas dengan cara yang jahat, maka hak kita turut dinafikan oleh mereka.

Hisammuddin berkata, pihak kerajaan negeri perlu merangka satu mekanisma terbaik dan bertindak secara adil untuk menyelesaikan masalah tanah yang berlaku.

“Sudah menjadi kewajipan setiap kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah ini dengan cara yang bijak dan bukan dengan cara menindas golongan rakyat. Beberapa isu berkaitan perlu ditangani berkenaan seperti ketelusan dalam pemberian tanah, Tanah Hak Adat Sabah, pampasan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau juga katanya akan memobilisasi rakyat bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama turun dalam himpunan kelak yang juga turut dihadiri Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 3.0  yang diadakan serentak pada hari berkenaan.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved