12 December 2011

Keluarga Mangsa ISA terima bantuan

TAWAU, 12 Dis: Dewan Pemuda PAS Tawau dan PAS Kalabakan hari ini menyampaikan sumbangan sebagai bantuan meringankan beban keluarga mangsa ISA, khususnya menjelang sesi persekolahan 2012 akan datang.

Ketua Pemuda PAS Kalabakan, Usman Madeaming berkata, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.


“Mereka yang ditahan ini merupakan sahabat kita. Pengajar kuliah di masjid dan surau sekitar Tawau.

“Kita terkejut dengan berita penahanan ini dan akan bersama keluarga mangsa untuk menyelami betapa perit dan pahitnya perjalanan seorang isteri yang ditinggalkan suami akibat kerakusan ISA,” katanya ketika berucap sempena penyerahan sumbangan tersebut di Pejabat PAS Tawau.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, yang turut hadir menyatakan bahawa Pemuda PAS Sabah sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.

"Bukan baru sekarang, PAS menentang akta kejam ini. Tetapi dari dahulu lagi.

“UMNO sudah menghina rakyat Sabah dan Sarawak. Ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memansuhkan ISA ialah pada Hari Malaysia, yakni hari dimana kemasukan Sabah dan Sarawak serta Tanah Melayu lalu membentuk sebuah negara bernama Malaysia," kata beliau.

Seramai 10 keluarga mangsa ISA tersebut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu. Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan berkenaan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julfikar Abd. Mijan; Setiausaha Pemuda PAS Sabah, Firdaus Fuad; ahli jawatankuasa PAS kawasan Tawau dan Kalabakan serta isteri dan ibu mangsa tahanan ISA.

No comments:

Post a Comment

 

anakbulan.com. Copyright 2009 All Rights Reserved