KALABAKAN, 3 Nov: Hampir 20 anggota polis
menggerumuni kawasan pejabat PAS Kalabakan bagi usaha menghalang orang ramai
dari mendengar penjelasan mengenai penjualan pulau-pulau Sabah oleh Ketua Dewan
Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu.
Menurut
Naib Ketua Pemudanya Noryusri Ahmad mendakwa, ini merupakan situasi pertama
yang berlaku di Tawau sepanjang sejarah penganjuran ceramah umum termasuk yang
melibatkan tokoh politik PAS dari semenanjung yang hadir berceramah di situ.
“Ramai
pimpinan PAS dari semenanjung datang sini, termasuk Mohamad Sabu pernah ceramah
di Tawau pun tidak berlaku seperti malam ini.
“Dulu
yang ada hanya 2-3 orang sahaja termasuk special
branch. Tapi malam ini umpama satu batolion datang menakut-nakutkan orang
ramai yang nak datang dengar isu pulau,” dakwanya.
Sementara
itu, Lahirul yang dalam ucapan ceramahnya kepada orang ramai yang hadir menegaskan,
kehadiran anggota polis yang begitu ramai bukanlah penyebab utama halangan untuk
beliau dari terus mengadakan road show
ke seluruh pelusuk negeri Sabah bagi memberi kefahaman dan maklumat berhubung
isu tersebut termasuklah mengenai isu tanah rakyat Sabah yang gagal ditangani
oleh kerajaan Sabah sehingga ke hari ini.
“Datanglah
berapa puluh ribu sekalipun, saya sama sekali tidak berganjak untuk menoleh ke
belakang membelakangi hak rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau
juga mendakwa, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai menteri yang
pengecut kerana tidak berani menyahut cabaran pemuda PAS berhubung isu tersebut
yang sudah melepasi tempohnya.
“Musa
Aman terpaksa menggunakan polis sebagai usaha terdesak beliau mengekang dari
maklumat ini sampai kepada rakyat".
Beliau
sebelum ini mengasak Musa Aman untuk turut berada di lapangan politik Sabah
sebagai ‘anak tempatan’ yang bertindak sebagai penjaga amanah dan menghalang
dari khazanah negeri tergadai bukan mendiamkan dirinya.
Ketua
Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd. Mijan turut bertindak menghalau keluar tiga
anggota polis yang menyamar sebagai orang awam daripada menyertai majlis
penerangan tersebut.
“Malam
ini, kebanyakan mat rempit serta penjenayah bersenang-lenang merempit dan merompak apabila polis yang diamanahkan untuk
menjaga keselamatan awam bertindak mengawasi perjalanan ceramah PAS,” sinisnya
semasa berucap menyampaikan ceramahnya.
Walaupun
kehadiran polis seramai itu, namun ianya tidak mengentarkan hampir 100 orang
yang datang dari Semporna, Tawau serta Kalabakan. Jumlah tersebut bagaimanapun
dijangka meningkat setelah kebanyakan darinya terpaksa berpatah balik apabila
mengetahui kehadiran polis yang begitu ramai.
Isu
penjualan pulau Sabah kini tersebar luas setelah kenyataan oleh Pengarah Jabatan
Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Datuk Osman Jamal yang mengakui terdapatnya pulau-pulau
yang ingin dijual.
Penjualan
pulau-pulau ini bagaimanapun mendapat bantahan serius oleh Dewan Pemuda PAS
Negeri Sabah yang menjalankan pelbagai usaha menghalang penjualan pulau
tersebut termasuklah menghantar memorandum bantahan serta yang terbaru
melancarkan kempen “Selamatkan Pulau Sabah” dengan mengutip tandatangan rakyat
sebagai tanda sokongan bantahan yang disasarkan sebanyak 100 000 tandatangan
dikumpul dan diserahkan kepada Musa Aman serta Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen.
Lahirul
bersama Ketua Penerangan dan rombongan kini dalam rangka lawatan kerja
pilihanraya dan penerangan pemuda PAS ke kawasan Kudat, Lahad Datu, Kota
Kinabatangan, Sandakan, Semporna dan Kalabakan termasuk melawat beberapa buah
pulau yang diiklankan untuk dijual.
No comments:
Post a Comment