KOTA KINABALU, 27 Nov: Mangsa kebakaran 55 buah rumah di
Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini Khamis lalu menerima sumbangan daripada
PAS Kawasan Putatan pagi tadi.
Sumbangan
yang berbentuk pakaian dan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Ahli
Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga AJK PAS Malaysia.
Dr.
Hatta berkata, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu meringankan
beban yang ditanggung mangsa.
Menurutnya,
selain bantuan tersebut, pihaknya juga menggesa kerajaan Sabah agar lebih
memberi perhatian termasuklah mengenai kesihatan, kemudahan tempat tinggal dan
sebagainya.
“PAS
menyampaikan ucapan dukacita dan simpati kepada mangsa kebakaran. Setakat hari
ini, apa yang telah kita ketahui bahawa masa depan mereka ini masih tidak
terjamin.
“PAS
mengharapkan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan untuk terus
memantau kesihatan mangsa bagi memastikan air yang digunakan itu selamat untuk
diminum dan digunakan.
“PAS
khuatir, kemungkinan terdapat jangkitan penyakit berjangkit sekiranya langkah
awal pemeriksaan ini tidak dilakukan,” katanya.
Menurut
Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu yang turut menemui wakil mangsa
kebakaran berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang dialami dan berusaha
untuk membantu sedaya upaya bagi meringgankan beban yang terpaksa dihadapi.
“Kita
juga dapat maklum bahawa, ada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang
mengambil peperiksaan tahun ini terpaksa mengulangkaji dalam keadaan yang
kurang selesa,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Putatan.
Turut
hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin
Aling; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong dan Setiausaha PAS Sabah,
Awang Laiman serta beberapa pimpinan PAS Sabah.
Khamis
lalu, lebih 1000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55
buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang
subuh pada jam 2.15 pagi.
Kebakaran
itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah
jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga
berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam
6.30 pagi.
Dalam
kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua
penghuni berjaya menyelamatkan diri.
No comments:
Post a Comment