KUALA LUMPUR,
28 Nov:
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini mengadakan lawatan kerja
seminggu ke negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Lawatan yang berteraskan muhibbah dan
semangat setiakawan itu akan mengadakan perbincangan dua hala mengenai tawaran
Pakatan Rakyat, pilihan raya dan kerjasama ekonomi.
Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar
Abd. Mijan berkata, PAS Sabah sedang berusaha membawa keluar rakyat di negeri
itu dari kepompong kekuasaan dan kerakusan pemimpin di bawah kerajaan Barisan
Nasional.
“Kita mengadakan lawatan ke
negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat ini, bukan sahaja akan mengambil manfaat
keseluruhan peluang malah akan membincangkan juga mengenai apa tawaran kita
selaku parti dalam komponen Pakatan Rakyat kepada rakyat Sabah,” jelasnya.
Menurutnya, generasi muda pada hari
ini sudah mula sedar dengan suasana perubahan yang turut dirasai oleh rakyat
Sabah yang berada di semenanjung.
“Kita melihat ini merupakan mood
perubahan dalam diri rakyat, terutama golongan muda.
“Mereka tidak sekadar melihat dan
menonton apa yang dihidangkan... tapi apa yang mereka lakukan ialah mencari
sebanyak mana sumber isu untuk dijadikan pelengkap kepada sesuatu
dakwaan,” ujarnya.
Kata Zulfikar, lawatan ini juga
secara langsung akan membincangkan persediaan menghadapi pilihanraya yang akan
berlaku pada bila-bila masa.
“Kesediaan pilihanraya pada tahun ini
merupakan sesuatu yang amat mencabar.
“Kita akan menggunakan seluruh medium
penyebaran yang ada untuk menyebarkan apa sahaja maklumat yang benar mengenai Sabah
dan Malaysia kepada rakyat,” katanya.
Katanya, beliau juga tidak menolak
kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini
bahawa pilihanraya pada kali ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah
pilihanraya umum.
“Pemuda akan memberikan saingan
sengit kepada pasukan lawan dengan perlawanan satu lawan satu.
“Kita juga percaya, mereka tidak
senang dengan kerja kita. Tapi, apa salahnya kalau kita bekerja dan bersaing
secara sihat,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar.
Lawatan yang disertai Ketua Pemuda,
Lahirul Latigu bersama kepimpinan PAS Sabah itu bermula di Selangor pada 26 Nov
lalu hingga 29 Nov akan turut berkunjung ke Kedah (30 Nov – 1 Dis) dan berakhir
di Kelantan (2 Dis – 3 Dis).
No comments:
Post a Comment